Recents in Beach

header ads

Ada kesan tapak kasut di rusuk kanan Adib, kata saksi #InkuesAdib #Justice4Adib:


Prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim diberitahu terdapat kesan lebam pada rusuk kanan anggota bomba itu selain kesan tapak kasut di bahagian sama.

Anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) R Narresh, 30, berkata dia melihat kesan itu meneliti badan Muhammad Adib ketika mereka berada di bahagian belakang trak Mitsubishi Storm semasa dalam perjalanan ke hospital.

Jelas R Narresh, kesan lebam itu dilihat pada bahagian luar rusuk kanan anggota itu kerana ada tanda kemerahan di bahagian sama.

"Dia (Muhammad Adib) tu (berkulit) putih. Tapi dekat dia punya ribs (rusuk) bahagian kanan lebam, kemerahan. Sebab dia berkulit cerah jadi boleh nampak.

"Bila tengok merah, saya ingat ada pendarahan dan saya terus bersiap sedia dengan mengambil baju anggota bomba untuk diikat pada badannya.

"Saya juga nampak ada kesan garisan tapak kasut pada rusuk kanan (Muhammad Adib). Saya kemudian lap dan ia (kesan tapak kasut) hilang," kata Narresh yang merupakan saksi kesembilan inkues ketika menjawab pertanyaan pegawai pengendali Hamdan Hamzah di hadapan Koroner Rofiah Mohamad di Mahkamah Koroner Shah Alam hari ini.

Narresh berkata, dia datang ke lokasi rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada malam itu dengan enam rakannya yang lain selepas mengetahui tentang perkembangan kejadian di kuil melali Facebook.

Menjawab soalan lain dari Hamdan berhubung keadaan Muhammad Adib ketika itu, Narresh berkata anggota bomba berkenaan mengalami kesukaran bernafas, mata tertutup, tidak responsif dan denyutan nadi perlahan.

"Saya periksa dia punya nadi, sedang menurun. Memang tak boleh buat CPR sebab risiko tinggi," katanya.

Narresh berkata, dia mula-mula melihat anggota bomba yang tercedera itu lengkap berpakaian seragam celoreng jingga dan dikelilingi sekumpulan 10 hingga 15 individu yang kebanyakannya mengambil gambar dan merakam video.

Tambah Narresh, dia kemudian cuba mencari sesiapa yang dapat membawa anggota bomba itu ke hospital, namun gagal pada mulanya.

Dia kemudian kembali untuk memeriksa anggota bomba itu semula dan mendapati kumpulan lebih besar dalam 10 hingga 30 individu berhampiran anggota bomba itu yang ketika itu hanya memakai seluar seragamnya.

Pada ketika itu, jelas Narresh, dia meminta kira-kira enam hingga tujuh individu mengangkat anggota bomba berkenaan sementara dia berlari di hadapan dan akhirnya menemui pemandu Mitsubishi Storm yang sanggup membantu membawa Muhammad Adib ke hospital.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lepas.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN).

..............
Rujukan:
http://pakdin.my/tag/muhammad-adib

Post a Comment

0 Comments