Recents in Beach

header ads

Najib: Fenomena mampan atau bebanan #MaluApaBossku #PRKDUNSemenyih

https://i2.wp.com/pakdin.my/wp-content/uploads/2019/02/20190218-najib-fenomena-mampan.jpg?fit=600%2C400&ssl=1
SEJAK beberapa bulan lalu, negara ini dilanda satu fenomena luar biasa yang tidak pernah terjadi dalam sejarah politik negara – FENOMENA NAJIB RAZAK. Dalam masa sekitar sembilan bulan, Perdana Menteri Keenam Malaysia ini, Datuk Seri Najib Tun Razak, telah merubah landskap politik negara.

Selepas kalah dan hilang jawatan, dalam sebuah negara yang hampir 70 peratus penduduknya "gila" media sosial, Najib umpama kain buruk yang sedang dilenyek-lenyek. Tidak ramai yang simpati dengan beliau apabila menjadi sasaran siasatan dan pendakwaan menggila.

Namun, Najib tampak tidak menyerah kalah. Dibebankan dengan ikat jamin RM3.5 juta mungkin merupakan satu rekod baharu kehakiman negara, beliau bangkit mengkritik dan mendedahkan pembohongan yang dibuat oleh kerajaan.

Daripada "kain buruk" tiba-tiba Najib menjadi "superhero" rakyat terutama dalam kalangan masyarakat pendapatan rendah dan sederhana, Melayu dan Bumiputera serta anak muda.

Hari ini jika ada sesiapa yang cuba menghina dan mencemuh Najib, maka bersedialah mereka menjadi bahan serangan pengguna media sosial seperti mana berlaku kepada personaliti Chef Wan.

Dalam kalangan masyarakat biasa, usaha Najib mendedahkan pembohongan kerajaan dengan fakta dan data serta mendesak pelaksanaan manifesto yang semakin dilupakan merupakan tonik kepada kekecewaan mereka terhadap pentadbiran baharu.

Malah perbezaan ketara pelaksanaan rancangan kebajikan rakyat antara kerajaan pimpinan Najib dulu berbanding kerajaan Tun Dr Mahathir Mohamad sekarang, adalah faktor utama peningkatan rating jenama Najib Razak.

Selama 9 tahun Najib membawa agenda transformasi ekonomi negara yang gagal difahami sebahagian rakyat, akhirnya beliau melakukan transformasi diri.
Dari pemimpin aristokrat berjiwa rakyat, kini menjadi pemimpin yang berbahasa rakyat biasa. Najib kini seorang politik yang penuh sindiran tajam, bahasa yang mudah dan jenaka yang menusuk hati nurani rakyat.

Pakatan Harapan (PH) mendakwa tulisan dan serangan Najib sebagai mencurahkan air ke daun keladi. PH mengambil kesempatan mengejek dan merendah-rendahkan tindakan Najib bergaul dengan penunggang motosikal dan membawa slogan-slogan seperti "malu apa bossku" dan "bukan biase, biase". Mereka mendakwa Najib terlalu terdesak dan tertekan sehingga membawa budaya mat rempit dalam hidupnya.

Sebutan "bossku" ini merupakan slanga yang popular dalam kalangan anak negeri Sabah kemudiannya berkembang ke Semenanjung Malaysia dalam kalangan anak-anak muda dan pelanggan restoran mamak. Di kedai mamak, ramai antara kita pernah mengungkap ayat "kira boss, berapa", kepada pelayan sahaja.

Ungkapan-ungkapan ini dilihat remeh oleh sebahagian orang, namun ia merupakan satu projeksi luar biasa mengubah kebolehterimaan orang biasa terhadap Najib. Ia mempengaruhi pemikiran bawah sedar (subconscious mind) masyarakat untuk menilai semula watak Najib.

Najib popular dalam kalangan penduduk luar bandar, namun beliau tiada sokongan besar dalam kalangan anak muda. Mereka melihat Najib sebagai sosok aristokrat yang jauh berbeza dengan diri mereka.

Justeru selain mempamerkan kebolehan ekonomi beliau yang tiada tandingan di kalangan menteri hari ini, Najib juga telah berjaya "transform" dirinya kepada satu figura politik yang menjadi "trendsetter" di media sosial. Hari ini apa yang Najib buat dan lakukan di akaun media sosial menjadi ikutan dan gaya terkini.

Hari ini dalam politik Malaysia, Najib Razak adalah medium yang berpadu dengan mesej. Fenomena Najib Razak ini membolehkan maklumat dan idea beliau meresap kepada rakyat tanpa banyak persoalan dan bantahan.

Hantaran Facebook gambar beliau memakai jubah konvokesyen sahaja mencecah 125,000 likes dalam masa beberapa jam sahaja. Manakala gambar beliau bersama Sharul dan Ajak Shiro mencecah 65,000 likes.

PH mendakwa populariti media sosial bukan ukuran sebenar. Inilah juga yang dilaungkan oleh Barisan Nasional (BN) sebelum pilihan raya umum lalu bila mengulas populariti Dr Mahathir di media sosial. Namun sejarah telah tercatat apa yang dianggap sebagai "sokongan palsu" di media sosial rupanya diterjemahkan dalam pilihan raya.

Najib bukan calon yang bertanding maka kehadiran beliau tidak seharusnya menjadi bebanan kepada BN dalam mana-mana Pilihan Raya Kecil (PRK). Sebaliknya momentum sokongan kepada beliau boleh menjadi satu faktor penambah sokongan kepada calon BN.

Beban Najib juga cukup besar. Kes beliau disebut di seluruh dunia. Justeru tidak mustahil populariti Najib akan berakhir apabila perbicaraan kes beliau bermula. Namun ini sekadar andaian.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melalui dua kes liwat, terpenjara bertahun lamanya, namun sampai hari ini beliau masih merupakan figura popular dan bakal menjadi Perdana Menteri Kelapan.

Percayalah dalam politik tiada apa yang mustahil. Sepuluh tahun lalu mustahil ada orang akan percaya bahawa Dr Mahathir dan Anwar akan kembali bergabung dalam satu pasukan.

Justeru jangan terlalu awal mengetepikan sosok Najib Razak dalam politik Malaysia. Baik atau buruk Najib, beliau akan terus menghantui kerajaan sekurang-kurangnya dalam tempoh empat tahun ini.



LIHAT video:
https://youtu.be/35J7iergxFA

Post a Comment

0 Comments