Recents in Beach

header ads

Tol: Bila menepuk air di dulang


PENGUMUMAN Pejabat Perdana Menteri mengenai cadangan pengambilalihan empat buah lebuh raya menimbulkan pelbagai polemik dan persepsi politik. Empat buah lebuh raya terbabit ialah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART.

Intipati pengambilalihan ini ialah kerajaan bercadang menghapuskan mekanisme kutipan tol sedia ada. Kerajaan akan menggantikan tol dengan "congestion charge" (caj kesesakan). Caj kesesakan akan terbahagi kepada tiga segmen iaitu kadar sekarang pada waktu puncak, potongan 30 peratus luar waktu puncak dan percuma pada lewat malam (11 malam – 5 pagi).

Ada beberapa perkara daripada pengumuman itu yang perlu kita fahami supaya tidak terjerumus dalam mantera beberapa pemimpin kerajaan yang menggambarkan ini merupakan kejayaan menyelesaikan masalah tol.

Pertama, pengumuman ini adalah cadangan sahaja. Bukan sahaja kadarnya, malah cadangan pengambilalihan konsesi tol ini pun masih di peringkat perbincangan awal.

Kedua, adalah sangat tidak realistik untuk mendakwa cadangan ini sebagai langkah awal ke arah menunaikan janji manifesto Pakatan Harapan untuk menghapuskan semua tol.

Jika ia merupakan langkah awal ke arah penghapusan tol maka tentulah kerajaan akan mengumumkan cadangan menyeluruh dan penyelesaian tuntas kepada kesemua tol, namun cadangan ini hanya terhad kepada empat buah lebuh raya ini sahaja.

Ketiga, laporan firma penganalisis Affin Hwang Capital menyatakan kerajaan dianggarkan perlu membayar Gamuda sekitar RM4.78 bilion atau RM1.94 sesaham. Ini adalah anggaran kovensional dan boleh meningkat dalam rundingan kerana Gamuda memegang saham majoriti.

Jumlah ini baru membabitkan pegangan saham Gamuda dalam konsesi, belum lagi pemegang saham lain. Gamuda memiliki pegangan dalam Kesas sebanyak 70 peratus, Sprint (52 peratus), Terowong Smart (50 peratus) dan LDP (44 peratus).

Justeru kerajaan dijangka membelanjakan hampir RM10 bilion bagi penstrukturan semula kutipan tol di empat lebuh raya ini sahaja. Ini belum termasuk beban hutang konsesi yang perlu ditanggung oleh kerajaan. Adakah berbaloi pengambilalihan ini hanya untuk memberi tol percuma waktu lewat malam?

Keempat, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan inisiatif kerajaan Pakatan Harapan (PH) ini lebih baik dari Barisan Nasional (BN) yang tidak berbuat apa-apa.

Sudah tentu rakyat dan pembangkang berhak mengkritik cadangan ini kerana janji asal PH ialah menghapuskan tol dan mengurangkan hutang negara. Inisiatif ini bukan sahaja tidak memansuhkan tol, malah akan meningkatkan hutang negara.

Muhyiddin melampaui rasional apabila bertanya, “Kenapa BN tak buat dalam tempoh 60 tahun? Cuba jawab. Bila kita buat dalam lapan bulan, kenapa persoalkan?”

Naratif politik PH bahawa tol adalah ciptaan BN selama berpuluh tahun yang terpaksa mereka tanggung selama 9 bulan ini adalah tidak munasabah. Apakah mereka tidak sedar masalah tol adalah ciptaan mereka?

Hampir 80% perjanjian tol dilaksanakan ketika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, Daim dan Anwar menguasai Kementerian Kewangan pada era 80 dan 90-an. Azmin Ali pula merupakan Setiausaha Sulit Kanan Menteri Kewangan ketika Anwar.

Inilah yang dikata pepatah menepuk air di dulang, terpercik muka sendiri.

Kenyataan Muhyiddin juga sangat menyesatkan. Ini kerana sepanjang 10 tahun lalu pentadbiran BN telah berjaya merombak perjanjian tol yang berat sebelah dan menutup lebih 10 buah plaza tol yang diwarisi dari pentadbiran Mahathir, Anwar dan Daim.

Antara lebuh raya yang telah dimansuhkan kutipan tol oleh pentadbiran BN ialah plaza tol PJS2, Lebuhraya Baru Pantai (NPE) pada 2009, Plaza Tol Salak Jaya, Lebuhraya Sungai Besi (2009), Plaza Tol Teluk Kapas, Jalan Pintas Selat Kelang Utara (2009), Plaza Tol Arah Cheras dan Plaza Tol Arah Petaling Jaya, Lebuh raya Metramac (2011), Plaza Tol Batu 9 (arah Kuala Lumpur) dan Plaza Tol Batu 11 (arah Kajang) Lebuhraya Cheras - Kajang (2012), Plaza Tol Batu 3 dan Plaza Tol Sungai Rasau, Lebuh Raya Persekutuan (2018), Plaza Tol Bukit Kayu Hitam, Lebuhraya Utara Selatan, (2018), Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur Johor Bahru (2018).

Pada 2015, BN turut memansuhkan tol Jambatan Salahuddin, Kuching; Jambatan Asean, Baram dan Jambatan Lanang di Sibu, Sarawak. Sarawak bebas tol sepenuhnya pada 2015.

BN juga mengumumkan pembinaan lebuh raya Pan Borneo dan Lebuh Raya Central Spine (CSR) Kota Bharu-Pahang adalah tanpa kutipan tol. Ini adalah sesuatu yang luar biasa pada zaman Mahathir-Anwar-Daim suatu ketika dahulu.

Jadi mungkin benar seperti slogan popular pemimpin BN sekarang, “malu apa bossku”.

Oleh Ab Jalil Backer
...........
Rujukan:

Tol Lebuhraya: Perjanjian Berat Sebelah Antara Mahathir Dan Kroni Menyebabkan Tempoh Konsesi Berlanjutan
https://pakdin.my/tol-lebuhraya-perjanjian-berat-sebelah-antara-mahathir-dan-kroni-menyebabkan-tempoh-konsesi-berlanjutan/

Projek Lebuhraya Utara Selatan Di Anugerah Kepada Pembida Tertinggi
https://pakdin.my/projek-lebuhraya-utara-selatan-di-anugerah-kepada-pembida-tertinggi/

https://pakdin.my/?s=Lebuhraya

Post a Comment

0 Comments